KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap Delta Sarawak dapat diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO kerana ia berpotensi memacu pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.
Salah satu objektif strategik utama Geopark adalah untuk merangsang aktiviti ekonomi dalam rangka pembangunan mampan manakala penjenamaan taman geo akan meningkatkan lagi industri pelancongan seiring dengan reputasi Sarawak untuk memelihara khazanah alam.
Menurut Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Sarawak komited untuk membangun taman geo yang dilihat berpotensi memberi manfaat dari segi sosioekonomi kepada komuniti tempatan melalui penciptaan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
”Inisiatif ini juga akan mengintegrasikan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber asli dan warisan budaya di samping meningkatkan pendapatan rakyat kita.
”Kami mempunyai air terjun, gunung, gua dan pantai, yang berpotensi untuk dipertingkatkan melalui penjenamaan geo,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, penjenamaan geo bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan tempatan dengan mengintegrasikan sumber geologi yang unik, pelbagai naratif masyarakat sekitar.
Selain itu, makanan istimewa yang dihasilkan di tapak geo dan satu siri acara dan aktiviti yang memanfaatkan persekitaran semula jadi, sejarah, makanan dan cerita rakyat tempatan serta aspek budaya ciri geologi.
”Pulau Jeju UGGp, menunjukkan bahawa geopark adalah penting untuk menarik pengunjung, mempromosikan ciri geologinya yang unik. Papan tanda dalam taman geo penting untuk pelawat dan meningkatkan pemahaman mereka tentang ciri-ciri warisan geologi, biologi dan budaya,” tambahnya.
Sumber dari : Jiwa Bakti